
PENGHUJUNG tahun 1990-an menyaksikan industri muzik tanah air seakan-akan malap apabila tidak banyak kumpulan muzik yang berkaliber muncul hingga menyebabkan berlakunya kebanjiran ramai artis dari Indonesia.Bagaimanapun, senario itu sedikit demi sedikit berubah selepas demam muzik independent (indie) dan alternatif rock banyak mempengaruhi para pemuzik dan juga kalangan para peminat di negara ini sejak lima tahun kebelakangan ini.
Fenomena terhadap sambutan para peminat terhadap genre muzik itu dapat dilihat menerusi persembahan kumpulan- kumpulan terbabit secara kecil-kecilan atau ‘gig’ yang telah diadakan di kelab-kelab kecil seluruh negara.Malah, fenomena kebangkitan para pemuzik indie dengan gaya muzik yang lebih kreatif dan pelbagai itu kini tidak dapat dibendung lagi apabila mereka berjaya menarik lebih 20,000 penonton setiap kali sesebuah konsert yang besar diadakan.Hakikat itu terbukti menerusi konsert Kami The Concert anjuran syarikat rakaman Monkey Bone yang menghimpunkan 24 buah kumpulan indie tempatan yang berlangsung di tempat Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menerusi konsert tajaan syarikat telefon prabayar Hotlink itu, berlangsong dari pukul 2 petang dan berakhir pada pukul 12 malam!Menurut Pengarah Monkey Bone, Ahmad Izham Omar, Kami The Concert merupakan konsert indie tempatan terbesar dan paling berjaya pernah dianjurkan pada tahun ini yang boleh menggambarkan tentang trend muzik semasa.“Bagi saya, ini merupakan suatu pergerakan muzik indie yang semakin ‘membesar’ dalam industri muzik kita dan ia semakin diterima oleh para pemuzik dan peminat di negara ini. Ia seakan-akan sukar untuk dibendung keghairahannya.“Apa yang dapat digambarkan pada konsert ini ialah bahawa ia merupakan suatu petanda gambaran trend yang akan berlaku dalam industri muzik kita tidak lama lagi.
Kumpulan-kumpulan indie yang ada sekarang ini adalah pewaris.“Merekalah yang akan meneruskan kesinambungan dalam dalam industri muzik kita selepas ini. Apa yang berlaku hari ini juga adalah gambaran yang bakal melanda pada masa depan,” katanya ketika ditemui Hits pada konsert itu.Kami The Concert diadakan selaras dengan sambutan drama bersiri Kami yang disiarkan menerusi saluran 8TV dan juga Kami The Movie yang telah ditayangkan di pawagam-pawagam baru-baru ini.Antara kumpulan yang telah menjayakan konsert itu ialah OAG, Butterfingers, Meet Uncle Hussain, Pure Vibracion, Republic of Brickfields, The Pilgrims, Bittersweet, Koffin Kanser, The Agrobeats, 7 Collar T-Shirt dan Pop Shuvit.Setiap kumpulan bukan sahaja tampil dengan imej dan persembahan tersendiri tetapi genre muzik yang mereka ketengahkan juga berbeza satu sama lain termasuklah alternatif rock, nu-metal, rapcore, reggae dan hardcore punk.Jelas Ahmad Izham, sambutan konsert yang diadakan secara percuma itu secara tidak langsung banyak dipengaruhi oleh sambutan para penonton terhadap drama bersiri Kami yang mengisahkan tentang peminat muzik indie.
“Sewaktu drama bersiri Kami disiarkan menerusi 8TV, kira-kira 700,000 penonton telah menyaksikannya. Selepas itu, apabila ia ditayangkan semula menerusi laman sesawang, ia disaksikan pula oleh 400,000 penonton.“Sambutan itu telah melonjakkan Kami sebagai rancangan televisyen terbitan 8TV yang paling ramai penonton. Ekoran sambutan hebat itu, kami akan meneruskan lagi program tersebut termasuklah penganjuran konsert ini,” ujarnya.Keadaan di tempat letak kereta bahagian petak A penuh sesak dengan remaja berusia antara 15 hingga 25 tahun yang membanjiri perkarangan stadium tersebut sejak dari pukul 1 petang di mana ramai yang secara berbondong-bondong.Kebanyakan peminat yang datang pada petang itu menggunakan khidmat keretapi transit aliran ringan (LRT) yang kebetulan terletak tidak jauh daripada pentas utama konsert tersebut yang merupakan kali kelapan diadakan tahun ini.
OAG selaku kumpulan penutup tirai para konsert berjaya memuaskan hati para peminat pada persembahan yang mengambil masa kira-kira 10 jam itu dengan 1001 macam ragam yang mampu mewarnai industri muzik kita selepas ini nanti.